Tun Datuk Mohd. Hamdan bin Abdullah dilahirkan pada 22 Februari 1922 di Kampung Labuaya, Tuaran kira-kira 34 km dari Bandar Kota Kinabalu.  Semasa lahir beliau diberi nama Indan bin Kari, satu nama yang indah dan manis mengikut sebutan suku kaum Dusun Lotud.  Beliau merupakan Anak kepada O.K.K. Kari bin Angur, seorang bekas anggota polis yang pernah berkhidmat di Pulau Gaya.  Ibu beliau bernama Boyod binti Umpun, seorang suri rumah yang juga merupakan seorang petani yang mengusahakan sawah padi dan menanam tanaman lain seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.Walau bagaimanapun, ayah Tun Hamdan meninggal dunia ketika beliau hanya tiga bulan di dalam kandungan ibunya dan beliau merupakan anak kedua daripada tiga orang adik-beradiknya.

Tun Hamdan dibesarkan oleh ibu dan bapa saudaranya O.K.K. Anggor sehingga tamat darjah lima di Sekolah St. John, Tuaran.  Kemudiannya sepanjang tahun 1935-1940, beliau menerima pendidikan di Sekolah Vernakular Kerajaan (Government Vernacular School), Tuaran. Tun Hamdan telah dijodohkan oleh ahli keluarganya dengan seorang gadis dari suku kaum yang sama dengannya iaitu Datin Selisir binti Judi.  Hasil dari perkahwinan ini mereka dikurniakan sepasang cahaya mata masing-masing bernama Lintang dan Tahira.  Selain daripada itu Tun Hamdan juga mengambil beberapa orang anak angkat yang mempunyai ikatan kekeluargaan dengan beliau.  Datin Selisir walaupun seorang yang tidak beragama (pagan) tetap kekal menjadi isteri Tun Hamdan sehingga beliau meninggal dunia pada 10 Oktober 1977.  Datin Selisir binti Judi menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Selupuh Tuaran pada tahun 2003. Pada tahun 1962, Tun Hamdan telah berkahwin untuk kedua kalinya dengan gadis pilihan hati beliau yang ketika itu baru berusia 18 tahun bernama Toh Puan Dulimah binti Ampit.  Beliau berasal dari Kampung Bantayan, Tamparuli juga dari suku kaum Dusun Lotud.  Perkahwinan ini juga kekal sehingga ke akhir hayat Tun Hamdan.  Mereka dikurniakan dengan empat orang cahaya mata iaitu tiga orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Tun Hamdan mula berkhidmat di bawah Syarikat Berpiagam Borneo Utara sebagai Kerani Anak Negeri (Native Clerk ) di beberapa daerah seperti Papar, Penampang, Persiangan dan Tambunan pada tahun 1941.  Pada tahun 1947, beliau dinaikkan pangkat sebagai Ketua Anak Negeri Kelas II (Native Chief Class II ) di Tuaran.  Pada tahun 1958, Tun Mohd. Hamdan telah dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Daerah (District Chief ).

Pada 28 Julai 1975, Tun Hamdan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang keempat menggantikan Tun Fuad Stephens yang meletakkan jawatan untuk melibatkan diri secara langsung di dalam arena politik dengan menyertai parti BERJAYA.  Tun Hamdan merupakan anak suku kaum Dusun Lotud yang pertama dilantik menjadi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.  Selain itu, Tun juga aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan berusaha memajukan rakyat terutama golongan petani dan penduduk di luar bandar.  Beliau sering kali mengadakan upacara “mikorot” (blood brothers) untuk mempererat perhubungan dengan masyarakat tempatan.  Beliau juga gemar mengadakan majlis keramaian di rumah beliau di Sri Sulaman agar beliau dapat berjumpa dengan masyarakat setempat untuk memantau hal kemajuan dan masalah mereka.  Dari segi pembangunan pula, beliau sering memberi penekanan terhadap pembangunan projek bukan sahaja di bandar-bandar tetapi juga di kawasan luar bandar.  Ini adalah berdasarkan kepada pengalaman secara langsung, pemerhatian serta pengetahuan luas yang beliau miliki sepanjang tempoh bertugas dari peringkat bawah sebagai Kerani Anak Negeri sehinggalah beliau menjadi Ketua Negeri Sabah.